Tuesday, October 12, 2010

bermula dari cebis-cebis mimpi.

sehari sebelum walimah
sewaktu aku kecil, aku sering mengikut emak atau nenek ke gotong - royong walimah di sekitar kampung. suasananya cukup nostalgik. berjalan atau membonceng motor ke destinasi. orang - orang dewasa punya tujuan membantu tuan rumah walimah, kami kanak - kanak hendak berjumpa dengan rakan - rakan dan - bermain. kejar - mengejar, sembunyi - sembunyi, polis sentri, doktor - doktor, kau namakan ia (you-name-it) kata orang putih.

masih ku ingat bau harum hasil kupasan bahan tumisan -bawang, halia, rempah ratus berwarna - warni serta sayur-sayuran yang siap dibersihkan dan dibasuh, ayam yang sedang dan telah digoreng (jika kami bernasib baik akan mendapat ayam barang seketul dua), daging lembu segar dilapah kaum lelaki. dan bau bedak bayi yang datang dari ibu - ibu yang membawa anak kecil berdukung kemas. terlekat di mindaku juga suara masyarakat kampung bercerita sesama mereka sambil bergelak ketawa. yang perempuan dengan kaum perempuan di bahagian mereka, begitu juga dengan kaum lelaki. mesra. waktu ini jugalah tiang  khemah mula dipasak di bumi. pemuda-pemuda mengemaskan pinggan,  mangkuk, sudu, gelas, jag serta peralatan untuk esok hari. di dalam rumah anak - anak dara serta wanita - wanita kreatif mula menggunakan bakat masing - masing meletakkan gam ke telur untuk dilekat pada kuntuman bunga bersama batang buluh halus. ada yang mengemaskan hantaran. biasanya aku menjenguk dari luar sahaja kerana biasanya rumah empunya majlis walimah akan menjadi padat dengan manusia - yang mempunyai seribu satu macam tugas, betapa aku mahukan hantaran berupa gula - gula, coklat, buah - buahan dan kuih - muih itu untuk dimakan dengan gembira. rupa cantik, warna menarik, rasa-pasti sedap. aku cukup ingat itu. di masa itu juga, ramai yang mengamalkan menanam ais di dalam tanah untuk mengekalkan bentuknya, (blok ais berbentuk segiempat tepat) supaya boleh digunakan masa kenduri nanti. ais diletakkan dalam lubang seperti liang lahad tetapi kecil, dikambus dan dikorek semula apabiola ia diperlukan.

 dan kami anak-anak kecil- di waktu inilah masa bertemu dengan rakan-rakan lama (yang tinggal berjiran di kampung) dan yang baru (saudara-mara jauh si bakal pengantin atau tuan rumah majlis walimah). bermain dengan bersungguh - sungguh seolah sudah kenal lama. apabila letih ya-kamilah tukang menghabiskan teh dan biskut yang disediakan tuan rumah, bukan calang-calang rasa, cukup enak. harum baunya, mengenyangkan pula. apabila tenaga sudah kembali, permainan akan bermula semula. keadaan menjadi lebih seronok apabila alam kehujanan, dalam rintik-rintik itulah kami berkejaran di hadapan rumah empunya majlis walimah,  walau basah walau kotor walau sejuk, semuanya tetap gembira. kerana habuan biskut kering bersama teh panas akan menyusul... rindu sungguh aku. pada suasana. pada masyarakatnya, pada teh panas dan biskut dan ya, pada keluarga.

*kadangkala hidangan biskut dan teh panas ditambah dengan hidangan bubur kacang...

ibrahnya: 1. silaturahim harus sentiasa dijaga supaya kesatuan umat terpelihara (macam tema sambutan  ma'al hijrah)
                2. untuk majlis nikah aku - mahu gotong - royong, bukan katering.

2 comments:

adikayat said...

org kulim mmg begitu..
hidup mereka harmonis senantasia =)

dinaso said...

haha harmonis,insyaAllah ^^